Ansara yakin kempen derma darah capai 50,000 pain tahun ini
Bernama
Julai 7, 2013 09:06 MYT
Julai 7, 2013 09:06 MYT
Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) yakin sasaran 50,000 pain darah menerusi Kempen Derma Darah Pra-Ramadan persatuan itu mampu dicapai tahun ini.
Presidennya, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sejumlah 38,716 pain darah dikumpul sejak kempen itu dilancar pada 2007.
Beliau berkata kempen secara besar-besaran di seluruh negara pada minggu terakhir sebelum puasa adalah bagi membantu Pusat Darah Negara mempertingkat bekalan darah.
"Kempen derma darah pra-Ramadan 2013 adalah edisi ketujuh. Edisi pertama menyaksikan kempen dilancar serentak di 13 lokasi di seluruh negara. Hasilnya, 2,160 pain darah berjaya dikumpul.
"Dalam enam edisi terdahulu, sejumlah 37,974 pain darah berjaya dikumpul. Kempen edisi ketujuh tahun ini dilancar di Kuala Lumpur Rabu lepas dan sehingga Khamis, sejumlah 38,716 diperoleh," katanya ketika merasmikan Hari Derma Darah Sedunia dan Kempen Derma Darah Pra-Ramadan peringkat negeri Kedah hari ini.
Mukhriz berkata kempen itu akan diadakan secara besar-besaran di 46 lokasi seluruh negara pada hari terakhir esok.
Beliau berkata tujuan Ansara mengadakan kempen derma darah pada minggu terakhir sebelum puasa adalah berikutan permintaan yang biasanya meningkat semasa musim perayaan, sedangkan jumlah penderma semakin berkurangan semasa Ramadan, terutama dalam kalangan penderma muslim.
"Puncanya... kerana tanggapan kurang tepat, terutama orang Islam, bahawa menderma darah di bulan Ramadan, walaupun selepas berbuka puasa, mendatangkan kemudaratan.
"Tahun lepas, pada bulan Ramadan, Ansara telah mengadakan Kempen Derma Darah di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu selama tiga jam pada sebelah malam dan berjaya mengumpul sejumlah 100 pain darah," katanya.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah itu berharap perkara sama dapat dilakukan di negeri ini dan menjadikan tabiat menderma darah sebagai satu amalan serta ibadah.
"Barangkali Pusat Darah Wilayah Utara boleh bekerjasama dengan jawatankuasa Masjid untuk mengadakan kempen derma darah selepas solat Tarawikh," katanya.