Anomali punca (RUU) pinda Perlembagaan Sarawak ditangguh - Speaker
Astro Awani
November 10, 2020 17:50 MYT
November 10, 2020 17:50 MYT
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini menunda Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Sarawak.
RUU berkenaan berkaitan menurunkan usia minimum untuk menjadi ahli DUN kepada 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini.
Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar ketika membuat keputusan berkenaan berkata terdapat anomali dalam penggubalan RUU tersebut dan ia berkaitan dengan tafsiran.
“RUU ini merujuk Seksyen 71 Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 71 itu seterusnya merujuk kepada Seksyen 66 (akta sama).
“Berikutan anomali ini dan pencerahan yang perlu dibuat, saya menunda RUU ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya pada akhir perbahasan RUU itu di sini.
Seksyen 71 ialah mengenai individu berasal dari negeri Malaysia Timur sementara Seksyen 66 menyentuh larangan terhadap hak rakyat untuk memasuki negeri Malaysia Timur.
Jelas Mohd Asfia, RUU berkenaan hanya ditangguh dan bukannya digugurkan.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa membentangkan RUU berkenaan berkata ia bertujuan meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak.
Pertama menurunkan had umur layak menjadi ahli DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan kedua, mentafsirkan serta menjelaskan perkataan “penduduk negeri”.
“Pindaan ini amat penting bagi menjamin peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkataan ‘penduduk negeri’ itu perlu ditafsir dan diperjelas memandangkan peruntukan sedia ada tidak jelas akan maknanya,” kata Abdul Karim.
Lima ahli DUN membahaskan RUU itu dengan pembangkang yang diwakili Chong Chieng Jen (PH-Kota Sentosa) dan Datuk Seri Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) membantah bahagian kedua pindaan.
Kata Chong, rakyat di Malaysia Barat dan Sabah yang berstatus pemastautin tetap selama dua tahun akan layak dipilih ke DUN jika pindaan itu diluluskan.
Wong pula berkata pindaan terhadap Perlembagaan Sarawak sepatutnya memastikan hak dipilih ke DUN hanya milik rakyat Malaysia yang lahir di Sarawak.
Sementara itu Datuk Idris Buang (GPS-Muara Tuang) berkata pindaan berkenaan perlu mengambil kira keperluan melindungi Sarawak daripada sebarang unsur politik negatif dari luar Sarawak.
#Sarawak
#DUN
#anomali
#Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar
#Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
#Perlembagaan Sarawak
#pindaan
#RUU
#Perlembagaan Persekutuan
#Chong Chieng Jen
#Datuk Seri Wong Soon Koh
#Datuk Idris Buang
#Malaysia