Annuar serah maklumat terkini pembelian hartanah Australia kepada SPRM

Bernama
Mac 18, 2016 07:39 MYT
ANNUAR: Harapan saya ialah SPRM akan melakukan siasat terperinci tanpa rasa takut dan pilih kasih. -Gambar fail
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa hari ini menyerahkan beberapa maklumat terkini berkaitan pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh anak syarikatnya Mara Incorporated Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Annuar yang tiba di perkarangan SPRM pada pukul 10.10 pagi ini, menyerahkan dokumen itu kepada Pengarah Strategik Komunikasi SPRM Datuk Rohaizad Yaakob.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Annuar berkata beliau berasa bertanggungjawab untuk menyerahkan maklumat baharu itu yang diyakini dapat membantu siasatan SPRM.
"Kami mahu lihat perkara ini diberi perhatian serius kerana Mara sendiri ada keterbatasan untuk melakukan siasatan. Justeru, kami serahkan kepada pihak yang sepatutnya.
"Harapan saya ialah SPRM akan melakukan siasat terperinci tanpa rasa takut dan pilih kasih. Bukan untuk kami publisiti ini, tapi saya bertanggungjawab memberikan kerjasama penuh apabila saya menerima maklumat baharu," katanya.
Justeru, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh, berharap sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan siasatan itu untuk tampil ke hadapan dan membantu SPRM.
Isu itu timbul selepas akhbar Australia, The Age dalam laporannya mendakwa, beberapa pegawai tinggi Mara dan seorang bekas ahli politik telah membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan Malaysia untuk membeli sebuah blok pangsapuri yang dikenali Dudley International House di Melbourne.
Annuar berkata Mara juga telah melantik beberapa ahli baharu minggu lepas, yang diberikan amanah untuk menguruskan beberapa isu berhubung pembelian hartanah itu antaranya berkaitan tempoh pinjaman tiga tahun telah tamat serta penyusunan semula pinjaman baharu.
"Kita pun tidak tahu masa membeli, pengurusan lama telah membuat pinjaman jangka pendek dengan bank Australia iaitu perlu membayar pinjaman dalam masa tiga tahun. Adalah mustahil unruk membayar dalam masa tiga tahun itu.
"Kita tidak mahu melihat (isu) hutang itu berpanjangan. Oleh itu, kami sedang menguruskan pinjaman yang baharu dengan bank Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata Majlis Mara telah membenarkan MARA Inc membuka bidaan untuk menjual blok pangsapuri Dudley International House di Australia, yang dibeli pada 2013.
Katanya fasa pertama bidaan itu telah ditutup dan MARA Inc telah melantik syarikat perunding antarabangsa yang berprestasi baik untuk melakukan proses pembidaan terbuka, telus serta mengaudit proses pembelian hartanah di Australia.
"Walaupun bidaan fasa pertama telah ditutup, ia tidak bermakna hartanah itu telah dijual kerana masih menunggu pembida menawarkan harga yang adil dan bersesuaian dengan kehendak Mara dan MARA Inc.
"Ini perlu dibuat mengikut peraturan yang ketat. Tidak harus berlaku urusan niaga yang tidak betul," katanya.
Annuar berkata beliau akan meminta pengurusan MARA Inc minggu depan untuk memberi taklimat kepadanya mengenai kedudukan pelupusan hartanah itu.
"Kita belum buat sebarang keputusan. Cuma, proses pembidaan pusingan pertama telah tutup. Ini tidak bermakna kita jual kepada mana-mana pembida sehingga saya berpuas hati dengan harga yang berpatutan dan selesa bagi Mara dan MARA Inc," katanya.
#Annuar Musa #hartanah di Melbourne #Majlis Amanah Rakyat #MARA