Annuar Musa mahu kebebasan media bertanggungjawab
Astro Awani
September 12, 2021 11:10 MYT
September 12, 2021 11:10 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan kerajaan hari ini mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan adalah penting untuk KKMM reinvent, rejuvenate dan menjadi lebih kreatif supaya KKMM akan terus menjadi saluran yang berkredibiliti dan berfungsi dengan efisien.
"KKMM bukan sahaja akan menjadi suara kerajaan tetapi merasakan nadi setiap rakyat, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang akan menghubungkan Putrajaya kepada rakyat di setiap pelosok negara, meskipun di kampung yang paling terpencil.
"Selama dua minggu yang lalu, setiap hari saya telah melawat, berjumpa, mendengar taklimat dan mengadakan sesi libat urus dengan pengurusan tertinggi dan kakitangan semua Jabatan dan Agensi di bawah KKMM, dari unit yang paling kecil sehinggalah yang paling besar seperti Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
"Ini adalah seiring dengan objektif saya untuk mengangkat KKMM ke persada yang lebih baharu dan lebih dinamik, seiring dengan masa dan keperluan rakyat Malaysia sebagai rakyat global," jelasnya.
Beliau pada masa sama berharap semua kakitangan KKMM bersedia untuk bekerja dan menjadi suara
kerajaan yang responsif, seiring dengan aspirasi rakyat untuk bersama membina Keluarga Malaysia.