Annuar Musa dakwa rakaman audio mirip suara Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi tulen
Umavathi Ramayah
April 8, 2021 13:08 MYT
April 8, 2021 13:08 MYT
PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, rakaman audio perbualan antara dua individu yang mirip suara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial sejak semalam adalah asli.
Beliau berkata, setelah mendengar rakaman itu lebih daripada 10 kali, beliau yakin suara itu milik Ahmad Zahid dan Anwar.
"Saya cuba mendengar malam tadi beberapa kali dan sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua individu, pengecaman suara bukanlah menjadi sesuatu perkara rumit.
"Suara orang lain berlakon dengan suara sebenar saya boleh cam, terus-terang saya katanya setakat pengecaman setelah dengar lebih 10 kali, saya yakin 100 peratus itu adalah suara tulen, bukan orang buat-buat," katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di sini, pada Khamis.
Saya yakin rakaman audio itu tulen - Annuar Musa
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu menyatakan kekecewaan dengan rakaman itu kerana berlaku tidak lebih daripada tempoh 24 jam perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 membuat ketetapan untuk No DAP dan No Anwar.
"Kandungan percakapan itu sangat mengecewakan, sebab baru sahaja ketetapan No DAP , No Anwar diisytiharkan dalam PAU 2020.
"Tiba-tiba belum sampai 24 jam berlangsungkan persidangan, jelas perkara lain dilakukan, saya seolah-olah dikhianati, kita dah bagi sokong, sekali fikir macam nak tarik baliklah sokongan itu," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa Ahmad Zahid supaya jujur dan berani kalau melakukan sesuatu tanpa menafikan atau vuba menuduh orang lain.
Justeru beliau mencadangkan Ahmad Zahid mengikut jejak langkh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berundur sebagai presiden parti apabila tiba satu tahap tanpa perlu dipaksa.
"Saya harap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi renunglah dengan mata hati, fikirlah apa yang terbaik kepada parti supaya parti tidak terbeban akhirnya," ujarnya.