Annuar Musa bertemu artis tempatan bincang isu industri kreatif negara

Bernama
September 22, 2021 00:19 MYT
Pertemuan tertutup dalam suasana santai selama lebih sejam itu berlangsung di ibu negara lewat petang Rabu. - Foto Facebook/Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa hari ini mengadakan pertemuan dengan tujuh artis tanah air bagi mendengar sendiri masalah dan keluhan yang sering dihadapi berkaitan industri kreatif negara.
Pertemuan tertutup dalam suasana santai selama lebih sejam itu berlangsung di sini lewat petang Rabu.
Annuar ketika ditemui Bernama selepas sesi pertemuan tersebut berkata antara isu yang dibangkitkan oleh artis yang ditemui ialah masalah pengurusan cukai dan isu berkaitan kebajikan seperti ketiadaan perlindungan insurans ketika berlakon dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.
"Benda (masalah) itu bukan boleh terus selesai. Cuma ia perlu dikenal pasti supaya masalah itu ada tindakan susulan. Benda ini kompleks sebab itu saya tidak mahu dianggap berjanji bulan dan bintang...," katanya.
Menurut beliau antara perkara yang perlu dilihat dalam mengkaji masalah berkenaan ialah aspek perundangan, peraturan sedia ada, birokrasi dan artis itu sendiri.
Annuar berkata golongan artis di negara ini mempunyai persatuan tetapi persatuan itu lebih kepada menjaga kebajikan artis dan bukannya mengawal profesionalisme seperti persatuan badan profesional yang lain contohnya peguam dan perancang bandar.
"Kenapa tidak, artis ada persatuan yang mengawal profesionalisme mereka. Namun tidak ada peraturan yang jelas dalam menggariskan profesionalisme (artis) itu.
"Saya akan mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Seniman Malaysia dan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dalam waktu terdekat bagi mendapat lebih banyak input berhubung perkara ini," katanya.
Annuar turut berkongsi gambar pertemuan itu di akaun Twitternya dengan catatan, beliau akan memperhalusi perbincangan yang berlangsung hari ini supaya tindakan susulan dapat dibuat.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Menteri Komunikasi dan Multimedia #pertemuan dengan artis #pertemuan tertutup #industri kreatif
;