Anjur program khas hayati lima dekad kewujudan Rukun Negara - Lee Lam Thye

Bernama
Februari 9, 2020 18:34 MYT
Tan Sri Lee Lam Thye berkata usaha itu penting bagi meletakkan semula Rukun Negara yang diwujudkan pada tahun 1970 sebagai asas dalam pembangunan negara. - Gambar fail/BERNAMA
Kerajaan disaran menganjurkan program khas untuk memperingati lima dekad kewujudan Rukun Negara bagi memperkukuh kesedaran rakyat, terutama generasi muda tentang makna sebenar prinsip Rukun Negara.
Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata usaha itu penting bagi meletakkan semula Rukun Negara yang diwujudkan pada tahun 1970 sebagai asas dalam pembangunan negara.
"Apabila kita imbas kembali kepada tahun 1970-an iaitu ketika Rukun Negara diisytiharkan, semua pihak tidak kira kerajaan, swasta dan media amat memberi penekanan dan tumpuan untuk mempromosi Rukun Negara kepada rakyat.
"Melihat kepada situasi pada hari ini, (kita) amat kesal, kita perhatikan bahawa Rukun Negara tidak diberikan fokus dan tumpuan untuk dijadikan sebagai falsafah dan prinsip negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya matlamat sebenar Rukun Negara adalah tertumpu kepada memperkasakan Malaysia sebagai sebuah negara kukuh dan mempunyai nilai-nilai kepelbagaian serta menjadikannya sebagai satu alat pembentukan negara.
Selain itu, pengenalan Rukun Negara juga bertujuan mencapai satu pegangan atau pengertian asas terhadap aspirasi nasional antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan masing-masing.
Justeru, prinsip yang terkandung dalam lima teras Rukun Negara harusnya disemai dalam jiwa generasi muda berbilang bangsa dan agama, selain dipromosikan untuk difahami, dihayati seterusnya diamalkan.
"Prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan terhadap kestabilan, keamanan dan keharmonian yang telah dicapai setakat ini.
"Rukun Negara bukan hanya dihafal dan dilafaz semasa perhimpunan di sekolah tetapi kita perlu memahami dan mengamalkannya," katanya.
-- BERNAMA
#Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia #generasi muda #Lee Lam Thye #lima dekat Rukun Negara #program khas #Rukun Negara
;