Anjing pengesan K6 diguna kesan mangsa hilang
Ifti Femida
April 1, 2022 12:00 MYT
April 1, 2022 12:00 MYT
CAMERON HIGHLANDS: Pasukan mencari dan penyelamat (SAR) kini menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan kedudukan mangsa yang hilang dibawa arus deras dalam banjir kilat dekat Kampung Sungai Ubi, di sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini menggunakan khidmat empat ekor anjing pengesan dari bomba dan polis bagi mengesan warga emas, Mariam Bertapan, 62.
"Usaha pencarian dilakukan secara agresif dengan pasukan SAR dibahagi kepada tiga sektor pencarian.
"Pasukan ini melakukan pencarian di lokasi timbunan dan longgokan pokok tumbang serta sampah sarap.
"Pihak kami juga menggunakan cangkul, penyodok, gergaji berantau serta jengkaut bagi kerja-kerja SAR ini,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejumlah 72 anggota penyelamat daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Radio Amatur Cameron Highlands dan penduduk kampung telah menyertai operasi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang, Selasa lalu, Mariam bersama tiga lagi wanita sedang menyeberang sungai sebelum dia dibawa arus deras.
Difahamkan ketika kejadian, kawasan berkenaan menerima hujan lebat dalam tempoh kira-kira sejam.