Anjing liar: MBI giat berunding dengan persatuan pencinta haiwan, cari penyelesaian tuntas
Aida Aziz
Julai 25, 2022 12:15 MYT
Julai 25, 2022 12:15 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) giat menjalankan rundingan bersama beberapa persatuan pencinta haiwan bagi menyelesaikan isu anjing liar yang masih berlarutan di sekitar bandar raya ini.
Bagaimanapun Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, walaupun rundingan telah dijalankan, belum ada penyelesaian yang tuntas diperoleh bagi membanteras masalah itu.
"Untuk penyelesaian jangka pendek sebenarnya kita sudah adakan rundingan dengan beberapa persatuan pencinta haiwan, khususnya anjing.
"Tetapi masalahnya kita belum dapat lagi penyelesaian yang tuntas. Sebab kita memang ada kawasan untuk haiwan ini. Tetapi isunya sekarang siapa yang mahu uruskan dan selenggara kawasan untuk jaga anjing itu.
"Kita juga sudah berunding dengan pihak Veterinar tetapi masih lagi dalam status perundingan, masih berjalan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berhubung anjing liar di sekitar Ipoh, yang dikatakan mengganggu rutin harian penduduk selain dibimbangi menyebarkan penyakit.
Rumaizi turut menjelaskan bahawa pihak MBI sama sekali tidak terlibat dengan kejadian anjing liar yang mati secara tiba-tiba dalam jumlah yang banyak.
"Ini bukan kerja kita (MBI), ini kerja vandalisme. Kita sudah pun minta polis siasatan dan tunggu saja hasil siasatan mereka.
"Kita harap orang ramai tak lakukan perkara itu (meracun anjing liar), kerana itu satu perbuatan jenayah," katanya lagi.
Beliau berkata, antara lokasi anjing liar seperti di Chemor, Station 18 dan Simpang Pulai.
"Apa yang saya nampak di kawasan contohnya mungkin orang buang anjing. Seperti di kawasan kilang dekat Chemor.
"Tiba-tiba ada banyak anjing, mungkin ada yang tak mampu bela banyak anjing, jadi mereka buang di situ," katanya.
Rumaizi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Rotary Fit Park di Taman DR Seenivasagam, di sini pada Isnin.
Hadir sama, mantan Presiden Kelab Rotary Greentown, Dr. Monesh Pilai.
Ditanya sama ada punca anjing liar bertambah disebabkan MBI lambat mengambil tindakan, Rumaizi menafikannya.
"Kita ambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP), kita sudah bersihkan (tangkap anjing liar) dalam satu hari, tapi esok lusa datang pula anjing liar lain. Itu masalahnya," katanya lagi.
Terdahulu, Rumaizi menyempurnakan pelancaran Rotary Fit Park di Taman DR Seenivasagam atau Taman DR.
Taman DR di sini dapat menjadi daya tarikan baharu untuk warga Ipoh khusus untuk aktiviti riadah dan rekreasi, di samping penambahan peralatan senaman baharu.