Anjing liar berkeliaran di Mersing undang keresahan orang ramai

Bernama
Februari 22, 2023 07:10 MYT
Lebih 10 ekor anjing liar yang berkeliaran di taman rekreasi dan pantai peranginan mengancam keselamatan pengunjung. - Gambar hiasan
MERSING: Kehadiran kumpulan anjing liar yang dilihat kian kerap berkeliaran di sekitar daerah ini mengundang keresahan orang ramai yang bimbang dengan keselamatan mereka.
Lebih merisaukan apabila terdapat dua insiden melibatkan warga emas yang cedera selepas diserang haiwan itu baru-baru ini.
Seorang suri rumah Nadiah Ali, 38, meluahkan perasaan tidak selamat susulan kehadiran anjing liar termasuk di kawasan perumahan yang menyebabkan aktiviti luar rumah anak-anaknya menjadi sangat terbatas.
"Mereka mahu berbasikal di sekitar taman perumahan dan bermain bersama rakan pun sudah tidak bebas kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku. Saya berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini demi keselamatan penduduk," katanya kepada Bernama pada Rabu.
Tinjauan Bernama mendapati lebih 10 ekor anjing liar yang berkeliaran di taman rekreasi dan pantai peranginan turut menjejaskan pemandangan serta mengancam keselamatan pengunjung.
Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad, 30, berkata kehadiran haiwan itu sedikit sebanyak turut menjejaskan perniagaannya apabila terdapat pelanggan yang membatalkan hasrat untuk membeli jualannya kerana berasa panik.
"Pernah terjadi seorang wanita yang baru sahaja turun dari kereta cepat-cepat masuk semula dan terus berlalu kerana terkejut dengan kehadiran kumpulan haiwan itu malah salakan anjing juga mengganggu suasana malam penduduk di kawasan ini," katanya.
Ketua Polis Daerah Mersing Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani dalam kenyataan malam ini mengesahkan telah menerima dua laporan berkaitan serangan anjing liar membabitkan warga emas.
Beliau berkata insiden pertama berlaku pada Khamis lepas melibatkan lelaki warga Belgium berusia 64 tahun yang cedera kedua-dua belah kaki manakala insiden kedua berlaku semalam membabitkan wanita tempatan berusia 66 tahun yang cedera di kaki kiri.
"Kita telahpun merujuk isu ini kepada Majlis Daerah Mersing (MDM) dan satu perbincangan bersama agensi berkaitan akan dilaksanakan dengan kadar segera bagi menyelaraskan usaha menangani perkara ini secara holistik dan berkesan," katanya sambil menambah kedua-dua mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Mersing.
MDM menerusi hantaran di laman Facebook rasminya MY Mersing memaklumkan beberapa unit sangkar telah dipasang di lokasi aduan awam berkaitan anjing liar sekitar daerah itu bagi melaksanakan tangkapan.
"Sebenarnya, operasi tangkapan ini bukanlah baru dilaksanakan. Sebelum ini, beberapa operasi tangkapan dan pemindahan anjing telah dilaksanakan secara rutin dan berperingkat bagi menyelesaikan aduan tersebut.
"Bagaimanapun, kami memohon kerjasama anda untuk tidak melepaskan anjing di dalam sangkar tersebut bagi mengelakkan isu ini berpanjangan dan bagi pemilik anjing, jangan lupa untuk membuat permohonan bagi lesen anjing," menurut MDM.
-- BERNAMA
#anjing liar #warga emas #cedera #mengancam keselamatan
;