Anjakan baharu tangani kos sara hidup pastikan kaedah bantuan lebih efektif

Bernama
Oktober 7, 2021 15:59 MYT
Gangguan terhadap ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19 telah menampakkan kesan yang ketara terutama kepada golongan M40 dan B40. - Bernama
PUTRAJAYA: Anjakan baharu menangani kos sara hidup perlu berpaksikan suatu asas yang boleh memastikan kaedah bantuan kepada kumpulan sasar lebih efektif dan efisien, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, gangguan terhadap ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19 telah menampakkan kesan yang ketara terutama kepada golongan M40 dan B40, dengan ada isi rumah M40 dalam sekelip mata beralih kepada B40.
Berucap merasmikan Symposium On Cost Of Living 2021 (SCOL 2021) secara maya hari ini, Nanta berkata peralihan struktur sosial dan ekonomi akan turut memberi kesan kepada kerajaan terutamanya dalam pemberian bantuan.
"Program-program bantuan kepada rakyat perlu disegerakan, itu sudah pasti, namun kadang-kadang bentuk bantuan yang diberikan tidak menepati kehendak beberapa golongan atau kumpulan sasar.
"Jadi, kaedah pukul rata seolah-olah sudah tidak relevan. Di kala kita beranggapan bahawa rakyat memerlukan bakul makanan rupa-rupanya ada juga yang memerlukan bantuan lain," katanya.
Nanta memberikan contoh ada dalam kalangan rakyat yang memerlukan pembayaran kenderaan terutamanya motosikal kerana kenderaan itu boleh digunakan sebagai alat untuk mereka bekerja seperti penghantar makanan atau pemandu p-hailing.
"Saya akui cabaran cukup besar disebabkan perubahan struktur masyarakat di mana kumpulan B40 mungkin selepas ini akan dirujuk sebagai B50 atau B60. Ini bermakna jumlah isi rumah yang perlu dibantu juga akan bertambah dan memberi kesan kepada jentera pelaksanaan.
"Namun saya percaya cabaran inilah yang akan membuka ruang kepada kita untuk melihat pelbagai kaedah baharu," katanya.
Nanta berkata penggunaan teknologi perlu dipergiatkan dengan menggunakan teknologi pengurusan bantuan dalam bentuk skala yang lebih besar serta unik.
"Sedekad yang lalu, low touch consumer sukar untuk diuruskan kerana kos serta keunikan setiap mereka menjadi cabaran kepada industri peruncitan namun penggunaan teknologi seperti e-dagang dan aplikasi telefon pintar membolehkan pelanggan dalam kumpulan yang kecil atau unik mendapatkan perkhidmatan," katanya menambah penggunaan teknologi akan mengurangkan ketirisan.
Menurut Nanta, semangat Keluarga Malaysia perlu diterapkan dalam usaha menangani kos sara hidup dan ia sewajarnya merentasi pelbagai spektrum serta perspektif.
"Sudah pasti apabila kita ingin mengatasi masalah kos sara hidup, antara strategi utama adalah sedaya upaya mengurangkan harga atau tidak meningkatkan harga namun hakikatnya ia sewajarnya merentasi pelbagai spektrum dan bukan hanya dalam perspektif kawalan harga semata-mata," katanya.
Beliau berkata bukan hanya kerajaan tetapi setiap ahli masyarakat sama ada di peringkat komuniti, dunia akademik, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan sosial serta pemain industri ekonomi masing-masing mempunyai peranan bagi menangani isu kos sara hidup.
-- BERNAMA
#kos sara hidup #pandemik #ekonomi #Alexander Nanta Linggi
;