Anifah tak terkejut keputusan mahkamah batal kemenangan di Kimanis
Astro Awani
Disember 2, 2019 22:24 MYT
Disember 2, 2019 22:24 MYT
Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembatalan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.
Meskipun sedih, namun bekas menteri luar itu berkata beliau sudah menjangka keputusan tersebut kerana tiga hakim yang sama di mahkamah rayuan terdahulu, terlibat dalam penghakiman kali ini.
"Saya berada di mahkamah pagi ini dan terkejut melihat bahawa tiga ahli panel yang sebelum ini membenarkan rayuan Karim Bujang pada 18 November 2018, juga terlibat dalam keputusan rayuan saya.
"Mereka yang berada dalam panel rayuan terdahulu, telah menyatakan pendirian mengenai petisyen pilihan raya yang sama dan oleh itu (mereka) tidak neutral," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, secara amalan tidak ada hakim Sabah akan memutuskan petisyen pilihan raya yang difailkan di Sabah, serta beberapa alasan rayuan yang dikemukakan hari ini juga berkaitan dengan keputusan panel yang terdahulu.
"Walaupun berjanji untuk menulis alasan penghakiman, panel pada 18 November 2018 lalu tidak melakukannya sehingga hari ini. Saya tidak terkejut jika panel hari ini tidak memberi alasan penghakiman bertulis.
"Walaupun saya telah memenangi tuduhan terhadap saya dan telah dianugerahkan bayaran RM105,000.00, saya perlu memfailkan rayuan hari ini untuk mempertahankan keputusan pengundi di Kimanis. Saya berterima kasih kepada SPR kerana menyokong rayuan hari ini," katanya.
Anifah juga berkata, beliau akan kembali ke Kimanis untuk berbincang dengan penyokong mengenai tindakannya yang seterusnya.
#Anifah Aman
#Anifah tak terkejut
#Karim Bujang
#Kemenangan Anifah Aman batal
#Parlimen Kimanis
#Pilihan Raya Umum ke-14
#PRU14
#SPR