Anifah ragu kenyataan 'karamkan kapal' dikeluarkan Jokowi

Astro Awani
November 21, 2014 13:15 MYT
ANIFAH: Saya tidak percaya ini suatu kenyataan yang dikeluarkan seorang Presiden dan akan menyiasat dakwaan ini. -Gambar fail
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini menyatakan keraguan beliau terhadap kenyataan yang kononnya dibuat oleh presiden Indonesia berhubung isu penangkapan ikan secara haram di perairan negara itu.
Beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra berkata beliau tidak percaya dengan kenyataan yang menyebut bahawa presiden Indonesia itu memberi arahan supaya kapal-kapal nelayan asing yang memasuki perairan Indonesia secara haram dikaramkan manakala anak kapal diselamatkan sebagai amaran keras kepada nelayan-nelayan tersebut.
"Saya tidak percaya bahawa ini adalah suatu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang Presiden dan akan menyiasat dakwaan ini," kata Anifah dalam kenyataan tersebut.
Laporan media pada Rabu menyebut bahawa 200 nelayan Malaysia telah ditahan ekoran tindakan menangkap ikan secara haram di perairan negara tersebut.
Anifah berkata pihak kementeriannya belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Indonesia berhubung penahanan itu.
"Sehingga kini, Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Malaysia di Indonesia masih belum menerima sebarang notis konsular secara rasmi dari pihak Indonesia berhubung penangkapan tersebut.
"Kedutaan Besar Malaysia telah menghubungi Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutamanya mengenai maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia tersebut.
"Sekiranya mereka disahkan rakyat Malaysia, bantuan konsular sewajarnya akan dihulurkan," kenyataan itu menyebut.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga dikatakan tidak menerima sebarang notis berhubung penangkapan nelayan Malaysia daripada pihak berkuasa Indonesia dan sedang memantau perkembangan mengenai isu tersebut.
Tambah beliau, kedua-dua negara dalam satu memorandum yang ditandatangai pada 2012, mencapai kata sepakat berhubung bentuk tindakan yang perlu diambil dalam menangani isu terbabit.
"Malaysia dan Indonesia telah menandatangani `MOU In Respect of the Common Guidelines Concerning the Treatment of Fishermen by Maritime Law Enforcement Agencies of Malaysia and the Republic of Indonesia' pada 27 Januari 2012.
"Menerusi MOU tersebut, kedua-dua negara telah mencapai kesepakatan untuk hanya mengusir dan tidak menangkap nelayan-nelayan yang didapati menangkap ikan di persempadanan maritim Malaysia-Indonesia," kata Anifah dalam kenyataan itu.
#Datuk Seri Anifah Aman #ditangkap #haram #Indonesia #Jokowi #Menteri Luar #nelayan #penangkapan ikan #perairan #Presiden Indonesia #sempadan