Anifah: Pelancaran peluru berpandu satu kebimbangan

Astro Awani
Mei 21, 2013 07:55 MYT
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman telah menyatakan kebimbangan berkenaan pelancaran terbaru peluru berpandu jarak dekat oleh Korea Utara dan turut menyeru negara tersebut menghormati resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
"Malaysia memandang dengan rasa bimbang pelancaran terkini peluru berpandu jarak dekat yang dilancarkan oleh Korea Utara pada 18-19 Mei yang menyumbang kepada peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea...
"Malaysia menyeru agar semua pihak yang berkenaan untuk terus bersama mewujudkan suasana yang sesuai bagi membolehkan proses dialog dan perundingan diadakan di peringkat dua hala dan pelbagai hala demi kepentingan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Korea dan serantau.
"Dalam hal ini, Malaysia menyokong penuh usaha Korea Selatan untuk memulakan proses dialog dengan Korea Utara," kata Anifah.
Pada Isnin, Korea Utara melepaskan enam tembakan peluru berpandu jarak dekat ke dalam Laut Jepun dengan tidak menghiraukan amaran daripada ketua PBB Ban Ki-moon dan Korea Selatan selepas ujian yang sama dilakukan pada hujung minggu.
#Anifah Aman #dpr korea #Korea #Korea Selatan #Malaysia #UNSC