Anifah nafi menerima sebahagian dari dana RM2.6 bilion

Haider Yutim
Ogos 19, 2015 22:13 MYT
ANIFAH: Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika Lim terus berbuat demikian.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan yang mengatakan beliau telah menerima sebahagian dari wang derma politik bernilai RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya tidak terima apa-apa dana dari akaun peribadi YAB Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, beliau turut memberi amaran kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang supaya berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadapnya kerana beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya Kit Siang enggan menghentikannya.
"Saya menggesa YB Lim Kit Siang untuk menghentikan sebarang tuduhan salah laku terhadap saya tanpa bukti.
"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika Lim terus berbuat demikian," kata Anifah lagi.
Media sebelum ini, melaporkan Kit Siang dipetik sebagai berkata, telah menamakan Anifah sebagai antara lapan menteri dan dua timbalan menteri yang menerima sebahagian daripada derma politik berjumlah RM2.6 bilion itu.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menggesa kesemua menteri dan timbalan menteri itu mengisytiharkan sama ada menerima sebahagian daripada dana tersebut.
#akaun #Anifah Aman #dana #derma politik #Perdana Menteri
;