Aniaya haiwan: Polis Kedah buka kertas siasatan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 10, 2021 11:05 MYT
Kejadian dipercayai berlaku ketika operasi menangkap dan melupuskan anjing liar di kawasan Taman Tiram, di Kulim, pada Khamis. - Foto PDRM
KULIM: Polis Kedah membuka kertas siasatan berhubung insiden anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap haiwan.
Kejadian dipercaya berlaku pada Khamis ketika operasi menangkap dan melupuskan anjing liar di kawasan Taman Tiram, di sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima dua laporan yang menyatakan tidak berpuas hati terhadap tindakan anggota MPKK terbabit yang dianggap kejam serta tidak berperikemanusiaan.
"Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
"Siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai dalam tindakan bagi melupus haiwan liar yang berkeliaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Kamarul Zaman, menasihat orang ramai supaya menghentikan penyebaran video tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan masyarakat.
#video #Kedah #Kulim #undang-undang #SOP #PDRM #anjing liar #lupus #Kamarul Zaman Mamat #Majlis Perbandaran Kulim #penguat kuasa #anggota penguat kuasa #penganiayaan #aniaya #tangkap #kejam #kertas siasatan #haiwan berkeliaran
;