Angsana Johor Bahru Mall dinasihat tutup sementara selepas beberapa pekerja positif COVID-19 - Dr Adham
Ernalisa Othman
Disember 7, 2020 17:54 MYT
Disember 7, 2020 17:54 MYT
JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan kompleks beli belah Angsana Johor Bahru Mall di Tampoi, di sini, supaya ditutup sementara berikutan beberapa pekerja di bangunan itu disahkan positif COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bagaimanapun berkata jika proses sanitasi dan nyah cemar sudah dilakukan dengan serta-merta dan menyeluruh, tiada keperluan untuk menutup premis berkenaan.
Katanya, ia berikutan penutupan premis dibuat bagi membolehkan proses berkenaan dilakukan secara menyeluruh.
"KKM sebenarnya sudah menasihati pengurusan pusat beli belah itu supaya ia ditutup sementara bagi menjalankan proses sanitasi dan nyah cemar secara menyeluruh.
"Proses sanitasi adalah sangat penting bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
"Namun jika pengurusan pusat beli belah cepat buat proses sanitasi dengan menyeluruh, pusat beli belah itu tak perlu tutup," katanya.
Sejak semalam, akaun Facebook rasmi pusat beli belah berkenaan dibanjiri komen netizen yang tidak berpuas hati berikutan tular luahan beberapa individu bekerja di situ yang dikatakan disahkan positif COVID-19.
Mereka kesal pengurusan pusat berkenaan tidak mahu menutup sementara kompleks berkenaan.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kluster baharu iaitu Kluster Jalan Tampoi dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.
Sementara itu, mengulas kebimbangan orang ramai mengenai pusat beli belah itu yang masih dibuka, Dr Adham berkata, semua pihak diminta bertenang.
"Individu yang diklasifikasi kontak rapat dan positif wabak sudah diasingkan segera.
"Yang tinggal hanya yang negatif dan tidak terdedah atau bukan kontak rapat," katanya.
Pengurusan pusat beli belah itu ketika dihubungi Astro AWANI berkata, akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu hari ini.
Semakan di akaun Facebook rasmi pusat beli belah itu menyatakan mereka sudah melakukan proses sanitasi dan nyah cemar di premis berkenaan pada 2 dan 4 Disember lalu.
#plaza angsana
#positif
#COVID-19
#ditutup
#dinasihat tutup
#Dr Adham
#Menteri Kesihatan
#Johor Bahru
#Tampoi
#kluster tampoi
#angsna johor bahru mall