Angkat Dasar Perpaduan Negara elak pergeseran masyarakat - Pensyarah

Astro Awani
April 16, 2021 12:39 MYT
Noor Nirwandy berkata, Rukun Negara juga perlu dijadikan satu doktrinasi positif hingga menjadi ideologi dan budaya hidup masyarakat. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Dasar Perpaduan Negara diangkat sebagai satu falsafah penting dalam mengikat perpaduan masyarakat.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Rukun Negara juga perlu dijadikan satu doktrinasi positif hingga menjadi ideologi dan budaya hidup masyarakat.
"Kejadian memukul pengawal peribadi dan penghinaan terhadap agama Islam oleh majikan pengawal tersebut harus dipandang serius oleh masyarakat.
"Ini kerana elemen provokasi seperti ini boleh mewujudkan polarisasi dan mewujudkan suasana tidak harmoni di dalam negara.
"Masyarakat dinasihatkan tidak terhasut dengan sikap terpencil golongan tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA: Pukul pengawal peribadi sebab puasa, empat lelaki direman
BACA: Dua 'bodyguard' dipukul, diacu pistol, diugut bunuh kerana berpuasa
Pada Rabu, media melaporkan, dua pengawal peribadi dipukul dengan rotan dan diacu pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya menunaikan puasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada sebuah kondominium di Jalan Pinang Kuala Lumpur.
Dalam pada itu Noor Nirwandy menegaskan, Rukun Negara dan Prinsip Perlembagaan Persekutuan harus diterjemahkan secara lebih komprehensif kepada masyarakat negara ini agar tidak berlaku pergeseran di kalangan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini khususnya berhubung kepentingan agama Islam dan masyarakat Melayu.
"Peristiwa seperti ini berupaya mewujudkan kumpulan radikal yang berkemungkinan akan terus mempersendakan agama Islam dan masyarakat Melayu sekiranya tidak ada tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.
"Ia juga berkemungkinan akan mewujudkan kumpulan bertindak balas dan pertembungan di antara kumpulan berkaitan akan mendatangkan ancaman keselamatan pada negara.
"Konteks pemahaman corak dan budaya hidup masyarakat Malaysia berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara harus difahami dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia," katanya lagi.
#polis #bunuh #Melayu #mangsa #lelaki #puasa #perpaduan #Dasar Perpaduan Negara #Rukunegara #Noor Nirwandy Mat Noordin #penghinaan agama #provokasi
;