'Angkat #BenderaPutih bukan tanda putus asa' - Jamil Kucing
Asyraf Roslan
Jun 30, 2021 16:47 MYT
Jun 30, 2021 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Seperti semua sedia maklum, kempen #BenderaPutih yang tular di media sosial baru-baru ini terus mendapat sambutan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Bahkan kempen itu turut digerakkan oleh selebriti tanah air seperti Alif Satar, Naim Daniel, Johan, Ozlynn Wati, Sherry Alhadad, dan pengacara nombor satu Malaysia, Datuk Aznil Nawawi.
Strategi kempen tersebut adalah mencadangkan kepada golongan yang berada dalam keadaan terdesak mengibarkan 'kain putih' sebagai simbolik menunjukkan mereka memerlukan bantuan daripada masyarakat setempat.
Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana kempen ini bermula?
Astro AWANI menjejaki antara individu awal yang bertanggungjawab mencetuskan idea tersebut di Facebook.
Menurut Jamil Ismail, 52, semuanya bermula apabila dia menonton satu babak dalam filem yang menunjukkan mereka mengangkat bendera putih bukan kerana mereka mengalah sebaliknya tanda meminta pertolongan.
Jamil yang sudah aktif membantu orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 melihat tidak ramai yang berani tampil ke hadapan mengakui berada dalam keadaan susah.
Oleh itu, Jamil berpendapat kempen tersebut sebagai langkah awal yang positif untuk membantu golongan memerlukan.
“Kita sedar masih ramai yang malu atau segan untuk menyatakan mereka susah.
“Jadi dengan cara mengibarkan bendera putih ini, dapat memberi tanda kepada masyarakat setempat yang anda memerlukan pertolongan, jadi tolong jangan malu, kibarkan sahaja pasti ada yang datang membantu,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
Dalam masa sama, Jamil akui kaedah itu dilihat lebih mudah untuk rakyat setempat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Katanya yang mesra disapa sebagai Jamil Kucing memberitahu, mengangkat bendera putih bukan tanda telah mengaku kalah atau berputus asa.
Sebaliknya kata Jamil, ia adalah jalan dan ikhtiar yang boleh dilakukan bagi memberitahu orang ramai bahawa mereka yang di dalam kesusahan memerlukan bantuan.
“Memang kita harus berdoa kepada Tuhan tapi kalau kita tak berusaha, benda ini tidak akan terjadi," tambahnya.
Pada masa sama, dia yang aktif memberi bantuan makanan kepada haiwan sejak 30 tahun lalu gembira selepas melihat kempen tersebut tular di media sosial dan diterima baik dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, dia menasihatkan jika ada individu yang ingin membantu, pastikan mereka membantu tanpa mengira bangsa dan agama.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.
Jelas beliau, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
Pengumuman Khas Pakej PEMULIH oleh Perdana Menteri | 28 Jun 2021
Ketika ini tanda pagar ‘Bendera Putih’ memenuhi ruang Twitter dengan sekitar 41,000 ciapan menyebut dan menyentuh mengenai kempen berkenaan sejak semalam.
Kempen ini menggesa mereka yang susah dan tiada makanan untuk 'naikkan bendera putih' di rumah mereka dan tidak perlu malu untuk memohon bantuan.
#Bendera putih
#Jamil Kucing
#Jamil Ismail
#Kempen Bendera Putih
#media sosial
#Selebriti Malaysia
#PKP