Angkasa yakin institusi koperasi mampu pacu sosioekonomi negara

Bernama
Ogos 21, 2021 15:07 MYT
Abdul Fattah berkata, Angkasa yakin dan percaya institusi koperasi akan terus dipacu melalui jalinan kerjasama pihak kerajaan dan agensi yang terlibat. - Facebook Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Bhd - ANGKASA
KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) sentiasa berusaha keras untuk memastikan institusi koperasi terus menjadi jentera pemacu sosiekonomi dalam mendepani krisis kesihatan yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi pada masa kini.
Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, bagi memastikan gerakan koperasi terus maju ke hadapan, agenda pembangunannya perlu bergerak seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021 hingga 2025 dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) serta agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
"Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2020, koperasi mempunyai aset sebanyak RM150.5 bilion, syer/ yuran sebanyak RM15.8 bilion dan perolehan sebanyak RM41.5 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Abdul Fattah berkata, Angkasa turut menzahirkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Menurutnya, Angkasa sebagai badan induk yang mewakili gerakan koperasi negara di peringkat nasional dan antarabangsa menyatakan kesediaan dan komitmennya untuk bekerjasama dengan kepimpinan perdana menteri dan kerajaan yang dibentuk bagi meneruskan agenda pembangunan negara khususnya meningkatkan taraf ekonomi rakyat di negara ini.
Beliau berkata, Angkasa yakin dan percaya institusi koperasi akan terus dipacu melalui jalinan kerjasama pihak kerajaan dan agensi yang terlibat dengan pembangunan gerakan koperasi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi secara berkesan.
Kerjasama erat antara Angkasa dengan kerajaan akan terus diperkasa untuk meningkatkan sumbangan gerakan koperasi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain memanfaatkan anggota koperasi dan rakyat dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup, katanya.
Angkasa yakin gerakan koperasi akan terus dimantapkan peranannya dan lebih progresif dengan kepimpinan Ismail Sabri yang pernah memegang portfolio koperasi sebagai Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 2009 hingga 2013.
"Angkasa turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan terdahulu yang telah memberikan sokongan terhadap gerakan koperasi melalui pelbagai inisiatif, pakej rangsangan dan bantuan untuk menyokong kemampanan dan pemulihan koperasi sepanjang mendepani pandemik COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#koperasi #Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd #sosioekonomi #rakyat #krisis kesihatan #Abdul Fattah Abdullah #PPN
;