Angkasa terokai rawatan air bersih

Astro Awani
Disember 26, 2016 16:31 MYT
Mustafa Jaafar Al-Hafidz (kanan sekali), Ahmad Ramlee Mohd. Abdullah, Hirohito Inoue, Yoshinobu Ebinuma, Muthado Bahri dan Shaharuddin Mohamad menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Sumber gambar Angkasa
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini mara selangkah lagi dalam mengukuhkan kedudukannya selaku salah sebuah penggerak ekonomi negara dengan meneroka industri rawatan air hasil kerjasama dengan sebuah syarikat dari Jepun.
Usaha tersebut berjaya direalisasikan apabila Angkasa melalui MyAngkasa Holding Sdn. Bhd (MyAngkasa) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Koperasi Gagasan Ekonomi Nusantara Sabah Berhad (Ko-Nusantara) dan Koei Corporation Limited Japan (Koei) baru-baru ini.
Menerusi perjanjian tersebut, MyAngkasa dan Ko-Nusantara akan bekerjasama dengan Koei bagi memasarkan teknologi rawatan air keluaran Koei untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa terutamanya ASEAN dan negara Asia Barat.
Pengerusi Ko-Nusantara, Datuk Mustafa Jaffar Al-Hafidz berkata, kerjasama dijalinkan itu merupakan salah satu langkah strategik yang akan membuka peluang kepada Angkasa melalui MyAngkasa dan Ko-Nusantara untuk melangkah ke pasaran luar, sekali gus mengharumkan nama koperasi Malaysia.
"Ini satu peluang keemasan yang tidak boleh kita lepaskan kerana Koei adalah syarikat pengeluar teknologi rawatan air antara terbaik di dunia dengan pengalaman lebih 150 tahun, jika kita tidak rebut negara lain akan mengambil pelaung ini.
"Paling penting, menerusi perjanjian ini, MyAngkasa, Ko-Nusantara dan Koei akan memberi hak eksklusif untuk Malaysia memasarkan teknologi rawatan air mudah alih pertama di dunia yang dipasangkan pada lori dua tan dan empat tan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis perjanjian berkenaan, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah; Naib Presidennya, Muthado Bahri; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyAngkasa, Shaharuddin Mohamad; Timbalan Pengerusi Ko-Nusantara, Ahmad Ramlee Mohd. Abdullah; Naib Presiden Koei, Yoshinobu Ebinuma dan Pengarah Eksekutif Koei, Hirohito Inoue.
Dalam pada itu, Mustafa Jaffar berkata, sebagai permulaan, satu projek perintis pemasangan teknologi rawatan air tersebut akan dibuat di sebuah masjid di Pekan, Pahang, awal tahun depan sebelum diperluaskan kepada kira-kira 380 masjid di seluruh negara.
#Angkasa #ASEAN #Hirohito Inoue #Ko-Nusantara #Koei #MyAngkasa
;