Angkasa sangkal dakwaan koperasi sekolah jual dengan harga tinggi

Bernama
Januari 12, 2016 09:10 MYT
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata secara umumnya harga barangan yang dijual di kebanyakan koperasi sekolah di seluruh negara masih di tahap berpatutan.
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyangkal dakwaan kononnya barangan yang dijual di kedai koperasi sekolah agak mahal berbanding barangan yang dijual di luar.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata secara umumnya harga barangan yang dijual di kebanyakan koperasi sekolah di seluruh negara masih di tahap berpatutan.
"Dakwaan ini cuma manipulasi pihak tertentu sahaja, koperasi sekolah membeli barangan mereka secara pukal daripada pembekal yang terpilih dengan harga yang murah.
"Malah, keuntungan daripada perniagaan koperasi sekolah juga akan dipulangkan semula kepada para pelajar untuk membantu sekolah melakukan program yang bermanfaat," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara di sini, pada Isnin.
Beliau mengulas mengenai saranan pihak tertentu yang meminta kerajaan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengawal harga barangan yang dijual di koperasi sekolah.
Abdul Fattah berkata tujuan utama lawatannya pada hari ini adalah untuk meninjau sendiri keadaan harga barangan yang dijual di koperasi sekolah.
"Terdapat juga dakwaan bahawa koperasi sekolah memaksa pelajar membeli daripada mereka.
"Barangan wajib beli ini adalah yang tidak boleh didapati di luar seperti lencana sekolah, tali leher dan buku latihan yang mempunyai logo sekolah," katanya.
#Abdul Fattah Abdullah #Angkasa #Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad #koperasi #sekolah
;