ANGKASA mahu media terus salur maklumat kebaikan berkoperasi - Abdul Fattah
Kenyataan Media
Januari 22, 2024 09:00 MYT
Januari 22, 2024 09:00 MYT
PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mahu media terus menjadi rakan strategik dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai kebaikan berkoperasi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, gerakan koperasi memainkan peranan penting kepada ekonomi rakyat dan pembangunan sosioekonomi negara, seiring dengan aspirasi Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) 2030.
Menurutnya, media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, menyebarkan maklumat dan membentuk pandangan serta peningkatan penghayatan prinsip koperasi melalui artikel dihasilkan.
“Sehubungan itu, adalah amat penting kerjasama strategik ini diteruskan agar maklumat dan informasi dapat disalurkan kepada koperasi dan masyarakat dengan pantas agar keyakinan terhadap institusi ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Tanpa sokongan pengamal media sudah pasti agak sukar untuk ANGKASA berkongsi maklumat secara menyeluruh sama ada dengan masyarakat, pelanggan, pihak industri dan pemegang taruh baik dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.”
“ANGKASA berharap hubungan dan kerjasama ini akan kekal berterusan dan diperkukuhkan pada masa akan datang melalui aktiviti bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Pertandingan Boling Persahabatan ANGKASA dan Media 2024 di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya pada Ahad.
Tambah beliau, ANGKASA kini menaungi 15,556 buah koperasi dengan 7.3 juta keanggotaan di seluruh negara dan sentiasa proaktif menyalurkan maklumat untuk meningkatkan keterlibatan koperasi dalam aktiviti perniagaan berimpak tinggi.
Jelasnya, usaha itu memberi manfaat secara terus kepada anggotanya dan masyarakat menerusi pelbagai projek perniagaan seperti Projek Barang Asas 100 (BA100), ternakan lembu tenusu Heifer’s Park, COOPFARMASI dan COOPUMRAH.
“Sempena ulang tahun ke-10, MyAngkasa Amanah Bhd (MAAB) telah menyalurkan baucar tunai RM500 kepada setiap peserta dengan jumlah keseluruhan RM45,000,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Pertandingan Boling Persahabatan ANGKASA dan Media sudah menjadi acara tahunan ANGKASA bagi menghargai peranan besar yang disumbangkan oleh pengamal media.
Dalam kejohanan pada tahun ini, pasukan Astro AWANI dinobatkan sebagai juara dengan berjaya melakukan 1,468 jatuhan pin keseluruhan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,800 dan trofi.