Angkasa kenal pasti sembilan koperasi tangani isu kekurangan ayam

Bernama
Jun 24, 2022 17:18 MYT
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengenal pasti sembilan koperasi yang boleh ditempatkan dalam industri ternakan ayam bagi menangani krisis kekurangan bekalan ayam di negara ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengenal pasti sembilan koperasi yang boleh ditempatkan dalam industri ternakan ayam bagi menangani krisis kekurangan bekalan ayam di negara ini.
Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi berkenaan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kira-kira 3.7 juta ekor ayam setahun pada peringkat awal.
"Kami (Angkasa) menyasarkan untuk meningkatkan angka ini secara berperingkat, tetapi sudah tentu usaha sedemikian memerlukan bantuan atau sokongan daripada kerajaan dan kerjasama rapat dengan sektor swasta seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)," katanya ketika menjadi tetamu jemputan pada program The Brief: Fortifying Malaysia's Chicken Supply di Bernama TV hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Nafas dan Angkasa akan mengusahakan penternakan ayam dan jagung untuk mengeluarkan 174 juta ekor ayam setiap tahun bagi menangani krisis kekurangan haiwan ternakan itu.
Menurut perdana menteri, Nafas merancang untuk mengawal 20 peratus pasaran ayam dengan mengeluarkan 144 juta ekor ayam setahun, manakala Angkasa mengeluarkan sebanyak 30 juta ekor setiap tahun.
Abdul Fattah berkata Angkasa juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) baru-baru ini yang akan membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk gerakan koperasi di Malaysia dan India dalam industri pertanian, asas tani dan perladangan.
Menerusi MoU itu, Abdul Fattah percaya koperasi terlibat akan dapat meningkatkan pengeluaran mereka, termasuk dalam penanaman jagung bijirin dengan penggunaan teknologi baharu yang disediakan susulan kerjasama itu.
-- BERNAMA
#Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia #Angkasa #koperasi #industri ternakan ayam #kekurangan bekalan ayam
;