Angkasa harap kerajaan iktiraf koperasi terima insentif seperti IKS
Bernama
Julai 29, 2023 04:00 MYT
Julai 29, 2023 04:00 MYT
IPOH: Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan akan mengumumkan keputusan berhubung permintaan untuk mengiktiraf sektor koperasi dari segi insentif dan bantuan seperti yang dinikmati sektor industri kecil dan sederhana (IKS).
Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan itu sekali lagi dalam sesi konsultasi bajet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dua minggu lepas.
"Perkara ini sudah lama dibangkitkan beberapa kali sejak lebih 10 tahun namun masih tiada keputusan. Terdapat jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat kementerian bagi mengkaji cadangan ini.
"Sekiranya sukar untuk membuat pindaan akta, kami mohon kerajaan memberi pengiktirafan supaya koperasi boleh mendapat insentif dan juga bantuan kemudahan yang diberi kepada IKS," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Karnival 100 Tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.
Beliau berkata pengiktirafan itu dapat membantu koperasi menyumbang kepada pembangunan sosial ekonomi negara seperti negara maju lain dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan.
Katanya Angkasa menyarankan koperasi yang besar supaya mempelbagaikan aktiviti perniagaan selain operasi kredit dengan terlibat dalam sektor seperti peruncitan, pemborongan, pelancongan dan kesihatan untuk mencapai Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang menyasarkan RM60 bilion pendapatan dijana koperasi menjelang 2025.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya beliau berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia menunjukkan terdapat 1,694 koperasi di Perak sehingga Disember lepas.
Menurutnya keanggotaan di negeri ini pula membabitkan 357,390 individu, syer atau yuran sebanyak RM563.44 juta manakala aset RM1.6 bilion dengan perolehan mencecah RM535.54 juta.
"Saya merasakan perolehan ini boleh ditambah baik lagi pada masa hadapan. Ini kerana sektor ekonomi telah pun memulih berikutan pandemik dan perolehan gerakan koperasi juga telah menunjukkan peningkatan.
"Sebagai institusi yang berpaksikan kepada kesejahteraan hidup rakyat, adalah penting untuk koperasi menceburi sektor utama negara untuk memaksimumkan impaknya kepada perolehan negara seterusnya menyumbang lebih besar kepada anggota khususnya dalam mendepani kos sara hidup," katanya.
- BERNAMA