Angkasa gesa tubuh lebih banyak koperasi untuk golongan OKU
Nur Fazlizai Ali
April 25, 2022 07:15 MYT
April 25, 2022 07:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyarankan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) menubuhkan koperasi dan menjalankan aktiviti perniagaan yang berimpak tinggi..
Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Fatah Abdullah, ia dapat membantu lebih ramai golongan OKU melalui bidang perniagaan, pelancongan, kewangan, hartanah dan perbankan.
Menurut Abdul Fatah, platfom itu merupakan antara cara terbaik untuk membantu mereka yang terlibat.
"Angkasa hanya boleh bantu OKU melalui koperasi, kita tidak boleh bantu individu, kita akan bantu mereka melalui koperasi itu.
"Kita cadangkan OKU yang belum ada koperasi, tubuh koperasi supaya Angkasa dan rakan strategik lain seperti SKM, Kementerian Pembangunan Usahawan boleh bantu mereka," katanya.
Abdul Fatah berkata pihaknya mensasarkan untuk mewujudkan lima lagi koperasi OKU tahun ini dan menjadikan jumlah keseluruhan 37 koperasi.
Setakat ini terdapat 32 koperasi OKU di seluruh negara dengan 14,000 orang ahli berbanding 450,000 OKU yang berdaftar.