Angkasa gesa semua koperator ambil vaksin

Bernama
Februari 22, 2021 04:01 MYT
Abdul Fattah berkata Angkasa menyokong penuh usaha kerajaan untuk program vaksinasi ini yang merupakan program imunisasi terbesar negara, dan pengambilan vaksin perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) meminta semua koperator di negara ini untuk mengambil vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata Angkasa menyokong penuh usaha kerajaan untuk program vaksinasi ini yang merupakan program imunisasi terbesar negara, dan pengambilan vaksin perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Webinar 'Mengapa, Kenapa dan Keperluan Vaksinasi Covid-19 dan Kempen Vaksinasi Koperator, anjuran Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan Angkasa secara persidangan video, menggunakan aplikasi Zoom.
Webinar itu turut melibatkan penyertaan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr Noriah Ismail selaku ahli panel.
Sementara itu Abdul Fattah berkata Angkasa yang telah membuka lima Coop Farmasi dan sebuah kedai penjagaan kesihatan dengan jenama CoopWellness setakat ini, bercadang membuka 10 buah kedai Coop Farmasi di seluruh negara tahun ini.
-- BERNAMA
#sektor pelancongan #program vaksinasi #penyakit berjangkit #vaksin #presiden #kesihatan #pelancongan #perubatan #COVID-19 #kerajaan #Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd #Angkasa
;