Angkasa cadang koperasi teroka bidang pertanian berimpak tinggi
Bernama
Mei 19, 2024 22:17 MYT
Mei 19, 2024 22:17 MYT
SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyarankan lebih banyak koperasi dalam negara meneroka bidang-bidang pertanian baharu yang mempunyai impak tinggi bagi meningkatkan lagi penjanaan perolehan.
Presiden berkenaan Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata antara pertanian berimpak tinggi yang boleh diteroka termasuk durian, vanila dan buah koko yang kini mendapat permintaan tinggi di peringkat global menggunakan kaedah inovasi dan teknologi Internet Benda (IoT).
"Kepelbagaian dalam bidang ekonomi masa kini telah membuka ruang dan peluang untuk semua pihak khususnya koperasi meninjau peluang bagi menceburi perniagaan dan mengembangkan sumber pendapatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Durian Harvest Koperasi Usaha Maju Kuala Lumpur (KOMAJU) di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata produk-produk yang dihasilkan oleh koperasi dalam negara juga sentiasa meningkat dari segi kualiti dan dapat menarik minat masyarakat untuk memperolehinya.
"Ini dapat dibuktikan apabila statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia terus menunjukkan peningkatan perolehan yang telah menjangkau sehingga RM64.5 bilion pada tahun lalu," katanya.
-- BERNAMA