Angkasa akan mohon ICA bantah sekatan import minyak sawit
Bernama
Januari 27, 2018 09:51 MYT
Januari 27, 2018 09:51 MYT
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memohon kepada Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) supaya menjadi suara membantah sekatan import produk minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam masa terdekat.
Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata bantahan tersebut dilihat wajar dilakukan berikutan resolusi EU itu boleh menjejaskan pendapatan dan ekonomi kira-kira 650,000 anggota koperasi yang juga pekebun kecil kelapa sawit di negara ini.
"Kita akan kemuka dan bincangkan isu sekatan (produk kelapa sawit) kepada ICA Asia Pasifik pada April ini dan jika dipersetujui, surat bantahan akan dihantar oleh sektor Asia Pasifik ke peringkat ICA global yang mana lembaga pengarahnya turut dianggotai negara EU.
"Tindakan Angkasa adalah demi memperjuangkan nasib penanam dan pekebun kecil sawit di negara ini. Mesyuarat ICA yang kita sertai baru-baru ini menunjukkan isu tersebut diterima baik untuk dibincangkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Persidangan Global dan Perhimpunan Agung ICA 2017, di sini malam tadi.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Naib Presiden Angkasa yang juga anggota Lembaga Pengarah ICA, Datuk Kamarudin Ismail.
Jelas Abdul Fatah lagi, pihaknya yakin suara ICA global mampu memberi impak kepada resolusi EU itu dan langkah yang diambil Angkasa bukan hanya untuk membela nasib anggota koperasi di negara ini tetapi meliputi mana-mana negara dalam blok Asia Pasifik yang turut terkesan.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata keutuhan ICA boleh menjadikannya satu kuasa pendesak untuk menulis bantahan terhadap resolusi EU itu kepada pihak terlibat.
"Walaupun EU menjangkakan sekatan akan mula dikenakan dalam tempoh tiga tahun lagi namun tempoh masa yang ada ini harus digunakan sebaiknya untuk kita bantah resolusi berkenaan. Tindakan kita ini adalah untuk membantu kerajaan atas dasar sektor koperasi," katanya.
Pada April tahun lepas, Parlimen Eropah dalam satu resolusi tidak terikat mengatakan hanya minyak sawit yang lestari alam sekitar boleh diimport oleh EU selepas 2020.
Resolusi itu turut mendakwa perladangan kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia yang menggunakan kaedah tebang dan bakar memusnahkan hutan hujan serta habitat haiwan selain menyebabkan berlakunya jerebu teruk di sebahagian Asia.
-- BERNAMA