Angkara mogok, Ketua Hakim jadi 'tukang cuci' di mahkamah
Bernama
Julai 29, 2018 20:25 MYT
Julai 29, 2018 20:25 MYT
Kira-kira 200 kakitangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur termasuk hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai kehakiman menyertai sesi gotong-royong di Kompleks Mahkamah di sini hari ini berikutan pekerja pembersihan mogok selepas mendakwa kontraktor tidak membayar gaji mereka sejak bulan lalu.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim memberi jaminan bahawa isu itu tidak akan berulang pada masa akan datang.
"Kami telah mengambil langkah yang perlu kerana ia lebih kepada salah faham...hari ini kami mengadakan perbincangan dengan seorang wakil kontraktor pembersihan, Perfect Three Solution Sdn Bhd, dan berharap isu itu akan selesai esok," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai aktiviti gotong-royong di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini kira-kira 3 petang.
Sementara itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum berkata beliau akan sekali lagi turun padang untuk memastikan para pekerja pembersihan kembali bertugas, esok.
"Saya sendiri akan datang dan periksa esok," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Suzarika Sahak berkata kerja gotong-royong sukarela yang turut disertai Ketua Hakim Negara itu bermula dengan sesi taklimat oleh beliau sebelum kerja-kerja pembersihan dimulakan pada kira-kira 10.30 pagi ini.
"Aktiviti gotong-royong ini meliputi lapan tingkat bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur termasuk kafeteria, tandas serta pejabat kakitangan dan diagihkan kepada 14 stesen di sayap kiri dan kanan mahkamah," katanya.
Richard yang tiba kira-kira 9.34 pagi dilihat turut bersama turun padang untuk membuat lawatan ke bangunan tersebut sebelum bersama-sama pegawai lain bergotong-royong membersihkan serta menanam pokok di persekitaran kompleks tersebut.
Turut bersama-sama beliau adalah Zaharah, serta lima hakim lain iaitu Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Wan Ahmad Farid, Datuk Suffian Abdul Razak, Datuk Ahmad Firuz Jaffil dan Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.
Sementara itu, seorang kakitangan mahkamah yang enggan dinamakan berkata mereka hanya menerima notis untuk sesi gotong-royong tersebut semalam.
"Sejak seminggu lalu, kami sudah mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan yang dilihat kotor seperti mencuci tandas dan menyapu koridor di aras kami bekerja," katanya.
Ketika ditanya mengenai isu mogok tukang cuci yang didakwa berlaku sejak Jun lalu, beliau berkata dia hanya tahu mereka tidak dibayar gaji namun tidak pasti tentang butiran sebenar isu itu.
Beberapa portal berita semalam melaporkan lebih 20 pekerja pembersihan memprotes sejak 7 Julai lepas ekoran tidak menerima gaji sejak Hari Raya Aidilfitri lalu.
Difahamkan, 100 pekerja pembersihan tidak datang bekerja sejak seminggu lalu daripada jumlah keseluruhan 120 orang dengan masa bekerja enam hari seminggu, bermula Isnin hingga Sabtu.
Tinjauan Bernama di kawasan koridor mahkamah itu mendapati terdapat banyak puntung rokok yang dibuang di tempat yang tidak sepatutnya walaupun kompleks mahkamah dikategorikan sebagai zon larangan merokok.
Semasa tinjauan di kafeteria pula mendapati banyak pinggan mangkuk terbiar di atas meja tanpa dibersihkan.
-- BERNAMA
#hakim
#Hakim Besar Malaya
#Ketua Hakim Negara
#ketuan hakim
#Mahkamah Tinggi
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#mogok
#pegawai kehakiman
#pekerja pembersihan
#Perfect Three Solution
#Richard Malanjum
#Zaharah Ibrahim