Angkara hutang RM250, warga emas maut dipukul
Hilmi Malik
Januari 27, 2023 20:49 MYT
Januari 27, 2023 20:49 MYT
KUALA LUMPUR : Angkara hutang, seorang warga emas maut selepas dipukul rakannya gara-gara enggan membayar hutang berjumlah RM250.
Kejadian itu berlaku berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima Kepong pada pagi Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, mangsa yang berusia 76 tahun itu telah dipukul rakannya yang berusia 63 tahun menggunakan kerusi plastik.
Mangsa bagaimanapun membalas serangan dengan menggunakan sebatang rod kabel.
Dalam pada itu, Beh memaklumkan insiden itu telah berjaya dileraikan oleh pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada di sekitar lokasi kejadian sebelum mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya didapati beredar selepas dileraikan anggota RELA yang berada berdekatan, namun rebah di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, sebelum meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya lagi, suspek juga telah ditahan sebaik sahaja membuat laporan di Balai Polis Kepong serta akan direman bermula Sabtu.
Sementara itu mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.