Angkara cemburu, lelaki pukul, tanam mayat teman wanita di tepi sungai

Bernama
November 2, 2021 22:33 MYT
Polis menahan suspek lelaki berusia 34 tahun itu pada Jumaat selepas penemuan rangka wanita berusia 31 tahun berkenaan pada Rabu lepas. - Gambar hiasan
IPOH: Angkara cemburu, seorang penganggur yang juga Orang Pengawasan Polis (OPP) bertindak membunuh teman wanitanya sebelum menanam mayat mangsa di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping pada 27 Okt lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata polis menahan suspek lelaki berusia 34 tahun itu pada Jumaat (29 Okt) selepas penemuan rangka wanita berusia 31 tahun berkenaan pada Rabu lepas.
Anuar berkata hasil soal siasat dia mengaku telah bergaduh dan memukul mangsa sehingga mati ketika berada di sebuah rumah.
"Dia kemudian membawa polis ke lokasi mangsa ditanam dan dipercayai telah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.
"Motif kejadian dipercayai cemburu kerana kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan orang lain sehingga menyebabkan pertelingkahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Anuar berkata suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dari 1 hingga 6 Nov depan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Bedah siasat terhadap mayat wanita tersebut telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mengetahui punca kematian, namun belum dapat dikenal pasti," katanya.
Katanya, suspek turut didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
-- BERNAMA
#bunuh teman wanita #cemburu #Taiping #Sungai Jebong
;