Angin ribut: Lebih 30 pokok tumbang, tujuh menimpa rumah di Pantai Remis

Abd Razak Mohd Ali
Mei 4, 2021 07:42 MYT
Bomba bersama anggota Majlis Perbandaran Manjung, Tenaga Nasional Berhad dan Bomba Sukarela Pantai Remis bekerjasama memotong dan mengalihkan pokok tumbang. - Foto JBPM Perak
MANJUNG: Angin ribut melanda sekitar kawasan Pantai Remis dekat sini malam tadi, menyebabkan lebih 30 pokok tumbang, termasuk tujuh yang menimpa rumah penduduk.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8 malam.
Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Gunung Tunggal, Lubuk Pusing, Tebuk Yan 2, Taman Pelangi, Kampung Indah, Batu 14 Segari, Sungai Batu, Jalan Haji Ali, Taman Bintang, Jalan Pengkalan Bharu, Batu 17, Kampung Tanjung Ara, Taman Desa Pantai, Kampung Cina dan Jalan Konchong Pelantar.
Katanya, tujuh kejadian pokok tumbang terkena rumah penduduk berlaku di Kampung Indah, Jalan Haji Ali, Kampung Bumi Hijau, Tanjung Ara Dalam, Sungai Batu dan belakang Pejabat Pos.
“Pihak bomba bersama anggota Majlis Perbandaran Manjung, Tenaga Nasional Berhad dan Bomba Sukarela Pantai Remis bekerjasama memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kata jurucakap itu, kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Akmal Hussin tamat pada 4.32 pagi.
#Pokok tumbang #JBPM Perak #JBPM #manjung #Pantai Remis #rumah #angin #ribut
;