Anggota TLDM mati dalam bilik tahanan

Astro Awani
September 30, 2017 14:08 MYT
Punca sebenar kematian dua anggota TLDM itu masih dalam siasatan polis. - Gambar hiasan
Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia semalam di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, menurut kenyataan TLDM hari ini.
Mereka yang terlibat dalam kejadian sekitar 3.15 petang Jumaat itu ialah LK I PNK Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK I TLS Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26.
Kedua-dua mereka sebelum kejadian itu telah menjalani latihan fizikal mengikut prosedur tetap (SOP) yang telah ditentukan.
"Mereka telah mengadu kepenatan ketika menjalani latihan tersebut dan seterusnya mereka telah direhatkan serta dimasukkan semula ke dalam bilik tahanan.
"Kedua-dua anggota mengalami muntah, keletihan dan sesak nafas. Mereka telah diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan dan panggilan kecemasan telah dibuat.
"Kedua-dua anggota telah disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada jam kurang 3.15 petang," kata TLDM dalam kenyataan itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal doktor ke atas kedua-dua anggota itu tidak menemui sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan sebab sebenar kematian itu," katanya.
Ia menegaskan, punca sebenar kematian masih dalam siasatan polis dan pihak TLDM akan memberi kerjasama penuh dalam hal itu.
Selain itu, katanya, TLDM juga menubuhkan Lembaga Siasatannya sendiri untuk meneliti prosedur kerja sedia ada dan jika wujud sebarang pelanggaran terhadap SOP tersebut.
"TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggari prosedur semasa melaksanakan tugas," tambahnya.
#keletihan #latihan fizikal #Lembaga Siasatan #meninggal dunia #muntah #prosedur tetap #sesak nafas #siasatan #SOP #tentera #TLDM
;