Anggota TLDM disyaki COVID-19

Aida Aziz
Mac 21, 2020 14:51 MYT
Seorang anggota dari KD Mahawangsa disyaki COVID-19, setelah isterinya bergaul rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidap virus itu.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggota dari KD Mahawangsa disyaki COVID-19, setelah isterinya bergaul rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidap virus itu.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, seluruh keluarga anggota yang diklasifikasikan sebagai pesakit di bawah pemantauan (PUI) itu sedang menjalani kuarantin seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
"TLDM turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin ke atas warga KD Mahawangsa setelah maklumat tentang tanda-tanda atau jangkitan COVID-19 diterima.
"Tindakan yang sama telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan.
"Prosedur ini telah dilaksanakan ke atas KD Lekiu yang tamat penugasan mengiringi Kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac lalu," kata Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, sehingga kini tiada anggota TLDM yang disahkan positif COVID-19 dan TLDM masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti biasa serta tidak terjejas dengan penularan COVID-19.
"Sebarang keputusan rasmi atau berkaitan dengan anggota yang dijangkiti hanya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Masyarakat dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan hendaklah mematuhi peraturan dan PKP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan," kata kenyataan itu lagi.
#COVID19 #KD Mahawangsa #pesakit di bawah pemantauan #Tentera Laut Diraja Malaysia #TLDM
;