Anggota TLDM antara tiga rakyat tempatan ditahan disyaki terbabit kumpulan militan
Bernama
Jun 13, 2014 21:20 MYT
Jun 13, 2014 21:20 MYT
Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah antara tiga rakyat tempatan ditahan polis di Sandakan hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata suspek berusia antara 29 dan 31 tahun, ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.
Beliau berkata seorang daripada individu yang ditangkap merupakan anggota kanan sel militan yang disyaki telah menjalankan latihan ketenteraan di kem milik Kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina, sejak 22 April lalu.
"Suspek menyusup masuk ke Malaysia secara haram pada 11 Jun lepas dan bersembunyi di sebuah rumah di Sandakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dua lagi suspek termasuk anggota TLDM yang bertugas di Sandakan itu ditahan kerana disyaki membantu anggota militan itu menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya.
Mohd Bakri berkata mereka ini ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 5 - Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) (SOSMA).
Sejak 28 April lalu, sejumlah 12 anasir militan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam rangkaian militan di Syria dan selatan Filipina.
Ia termasuklah penahanan seorang warga asing dari Afrika Timur di Selangor pada 8 Mei lalu.