Anggota tentera, suri rumah mangsa penipuan libatkan lebih RM60,000

Azee Shafy
Januari 11, 2023 07:30 MYT
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pelaburan yang tidak wujud dan penjualan wang lama.
KUANTAN: Seorang anggota tentera berusia 25 tahun kerugian lebih RM26,000 akibat terperdaya dengan iklan penjualan wang lama menerusi aplikasi Instagram, di Temerloh, Ogos lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa dipercayai tertarik dengan iklan di aplikasi itu yang menawarkan USD30,000 bagi sekeping wang RM2 lama miliknya.
"Bagaimanapun, mangsa telah diminta membuat pembayaran pendahuluan terlebih dahulu, selain sejumlah wang bagi mengaktifkan akaun antarabangsa sebanyak 11 kali transaksi berjumlah RM26,100 ke akaun yang berbeza," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam satu kejadian lain di Rompin, seorang suri rumah berusia 63 tahun terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM40,000 akibat diperdaya skim pelaburan yang tidak wujud.
Menurut Ramli, mangsa dikatakan telah berjumpa dengan wakil syarikat pelaburan itu pada 16 Ogos lalu untuk membuat pelaburan emas yang dijanjikan pulangan modal dalam masa 30 dan 60 hari untuk keuntungan dividen dan dinar emas.
"Dalam kes ini, mangsa dikatakan berminat dengan pelaburan tersebut dan menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 kepada wakil syarikat pelaburan bagi tujuan pelaburan.
"Namun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan dari syarikat tersebut sehingga hari ini," ujarnya.
Berikutan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pelaburan yang tidak wujud dan penjualan wang lama.
Menurut Ramli, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan www://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat transaksi.
#penipuan #wang #kerugian #skim pelaburan
;