Anggota tentera maut terseret 100 meter

Sinar Harian
Februari 21, 2024 11:30 MYT
Pasukan bomba membawa keluar mangsa yang terperosok bawah kereta di KM379 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Slim River pada Selasa. (Gambar kanan: Keadaan motosikal mangsa selepas terbabit kemalangan. - Foto Bomba Perak
TANJUNG MALIM: Seorang anggota tentera maut selepas terperosok bawah kereta dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 379 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Slim River, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 11.14 malam itu, mangsa, Mohamad Hafizz Yusof, 28, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, laporan kemalangan diterima melibatkan sebuah lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), motosikal dan kereta jenis Nissan Almera.
Menurut beliau, siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berpangkat lans koperal berusia 39 tahun dalam perjalanan dari Pasukam Polis Marin Wilayah 1, Pulau Pinang ke Shah Alam.
"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaannya mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.
"Beberapa minit kemudian, terdengar bunyi dentuman dari belakang kerana dilanggar motosikal mangsa.
"Ketika kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun tidak sempat mengelak mangsa yang tercampak di hadapannya menyebabkan mangsa terseret sejauh 100 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan," katanya di sini pada Rabu.
Mohd Hasni berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pemandu lain tidak cedera.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian
#Nahas #motosikal #Anggota tentera #PLUS
;