Anggota tentera maut terkena tembakan pemburu di hutan Song
Bernama
September 23, 2024 20:48 MYT
September 23, 2024 20:48 MYT
KAPIT: Seorang anggota tentera maut akibat terkena tembakan dipercayai dilepaskan oleh orang awam yang sedang memburu binatang di kawasan hutan KM 8, Jalan Balak Multiplus, Song dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak berkata Petrus Linggi Liman, 29, mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan punggung kiri.
Beliau berkata mangsa ketika itu sedang berada di atas buaian (hammock) sewaktu menyertai latihan taktikal pasak bumi di kawasan hutan berkenaan.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan namun telah disahkan meninggal dunia pada 7.43 pagi oleh pegawai perubatan hospital tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya polis sebelum itu menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira 2.45 pagi.
"Setakat ini suspek belum lagi dikenal pasti. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang berusaha mengesan suspek.
"Bedah siasat ke atas mayat mangsa dijadualkan dilakukan esok di Hospital Kapit," tambahnya.
-- BERNAMA