Anggota tentera maut tercampak jejambat Lebuhraya DUKE

Astro Awani
September 6, 2016 08:48 MYT
Mangsa Mohd Zuffizzan Mat Noh, 33 tahun, yang lengkap beruniform tentera maut selepas motosikal ditunggangi terbabas dan tercampak dari ketinggian 24 meter. -Gambar hiasan
Seorang anggota tentera maut dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE lewat petang Isnin.
Mangsa Mohd Zuffizzan Mat Noh, 33 tahun, yang lengkap beruniform tentera maut selepas motosikal ditunggangi terbabas dan tercampak dari ketinggian 24 meter.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika bapa kepada dua cahaya mata itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Jalan Padang Tembak ke rumah.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal lalu terbabas dan melanggar tembok penghadang jejambat sebelum tercampak.
Pegawai turus Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata pada mulanya seorang pemandu lori memaklumkan mangsa dicampak empat lelaki dari jejambat berkenaan.
Namun, katanya hasil siasatan tidak menemui unsur jenayah, sebaliknya mangsa terbabas sendiri.
Katanya, keterangan lelaki itu juga tidak boleh diterima berikutan kedudukannya yang jauh dari lokasi dan tidak dapat melihat kejadian yang berlaku di sebelah kanan jejambat.
Selepas menganalisis sejarah kesihatan mangsa, kemalangan dipercayai berpunca daripada penyakit mangsa yang kerap pitam dan tak sedarkan diri secara tiba-tiba.
Malah, dia juga dikatakan pernah terbabit dengan kemalangan sebelum ini akibat penyakit itu dan masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Anggota tentera #lebuhraya Duke #maut kemalangan #Mohd Zuffizzan Mat Noh
;