Anggota tentera maut nahas tiga kenderaan
Sinar Harian
Februari 19, 2023 06:00 MYT
Februari 19, 2023 06:00 MYT
ROMPIN: Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 133.5 Jalan Kuantan-Johor Bahru, pada Ahad.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa Shahrizal Shamsuddin, 41, berasal dari Masai, Johor Bahru meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, dua lagi mangsa terselamat iaitu pemandu kereta, Amirul Aiman Abd Raof, 19, yang berlamat Tanjung Batu, Nenasi, Pekan manakala seorang penunggang motosikal, Mohd Azman Md Yusof, 48, dari Ulu Tiram, Johor.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang cuba membelok ke kanan untuk ke Petronas Luar, Kuala Rompin telah dilanggar (sisi kanan kenderaan) oleh motosikal ditunggang Shahrizal yang datang dari arah belakang.
"Sebuah lagi motosikal lain dipandu Mohd Azman dari arah sama turut bergesel dengan kereta tersebut lalu terbabas ke kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Azahari menambah, akibat pelanggaran tersebut, Shahrizal meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Azman dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Rompin. -Sinar Harian