Anggota tentera maut motosikal rempuh bas sekolah

Rohana Wahed
November 8, 2018 10:12 MYT
Insiden berlaku apabila motosikal yang ditunggangi seorang anggota tentera gagal dikawal lalu merempuh bahagian kiri hadapan bas sekolah terbabit. - Foto ihsan JBPM Sarawak
Ngeri. Itu yang dapat digambarkan apabila seorang penunggang motosikal besar terkulai, selepas merempuh sebuah bas sekolah Kampung Bratan, di Puncak Borneo pagi Khamis.
Insiden berlaku apabila motosikal yang ditunggangi seorang anggota tentera gagal dikawal lalu merempuh bahagian kiri hadapan bas sekolah terbabit.
Impak pelanggaran itu menyebabkan badan mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Joharie Safri, 36 tahun, terkulai di bawah bas, dengan kakinya masih melekat pada posisi menunggang.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.44 pagi dan sebuah jentera serta ambulans EMRS segera dikejarkan ke lokasi bersama-sama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan.
Tambah beliau, pihaknya kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dan melakukan aktiviti pembersihan, sebelum operasi tamat sekitar jam 7.40 pagi.
Mayat mangsa kata Ling Hii, telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Alexson Naga Chabu ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan insiden itu dan memberitahu, punca kemalangan masih dalam siasatan.
#bomba #Kampung Bratan #kemalangan #mangsa #maut #mayat #motosikal kuasa besar #polis #sekolah #Tiong Ling Hii
;