Anggota tentera maut, kereta terbabas di Lebuh Raya Utara Selatan
Abd Razak Mohd Ali
Februari 6, 2019 20:44 MYT
Februari 6, 2019 20:44 MYT
Seorang anggota tentera maut manakala abangnya, yang juga anggota tentera cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 319.6 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), dekat sini, petang Rabu.
Mohd Amin Zulkeflee, 22, yang memandu kereta Proton Saga FLX meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya, Mohd Saifullah Shafaiz, 25, mengalami kecederaan di bahagian muka.
Menurut laporan Ibu Pejabat Polis (IPD) Tapah, kedua-dua beradik itu yang beralamat di Markas Tentera Udara, Bahagian Sumber Manusia, Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan ke arah selatan, apabila kemalangan itu berlaku, kira-kira jam 3.40 petang.
Menurut laporan itu lagi, apabila sampai di tempat kejadian kereta yang mereka naiki dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuh raya.
“Pemandu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan mengalami kecederaan di bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” kata laporan itu.
Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat akan dijalankan mulai 6 petang Rabu untuk mengetahui punca kematian.
#Anggota tentera
#forensik
#kemalangan
#markas tentera
#mohd amin zulkeflee
#mohd saifullah shafaiz
#tentera maut