Anggota tentera hilang di Hutan Simpan Belum sejak Jumaat lalu - Polis Perak

Bernama
April 10, 2023 23:31 MYT
Mohd Yusri berkata anggota tentera berusia 33 tahun adalah dari Batalion ke-25 RAMD Kem Sri Bentong, Pahang. - Gambar fail/ Astro AWANI
IPOH: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam satu kenyataan hari ini, berkata anggota tentera berusia 33 tahun adalah dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kehilangan anggota berpangkat Koperal itu pada jam 12.50 tengah malam, semalam.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah telah dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak hari pertama kehilangan dan sehingga kini anggota tersebut belum ditemui.
"Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian kehilangan berlaku Jumaat lalu pada jam 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan," katanya.
-- BERNAMA
#ATM #Melayu #Hutan Simpan Belum #SAR