Anggota tentera didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap anak tiri
Bernama
Ogos 29, 2024 16:50 MYT
Ogos 29, 2024 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berumur 12 tahun.
Lelaki berpangkat koperal berusia 29 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan terbabit di sebuah rumah di Persiaran Baiduri Cheras pada 8 malam 18 Ogos dan 3 petang Jun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan.
Bapa tiga anak itu juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan itu di lokasi sama pada 4 petang, Julai lepas, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon jaminan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan kerana kesalahan itu serius serta mengambil kira hubungan mangsa dan tertuduh.
"Pihak kami juga mohon syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Peguam Mark Jeyakumar Michael yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak masing-masing berumur setahun, empat dan enam tahun.
Hakim Norshila Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.
"Tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa, tidak boleh melawat dan berbual dengan mangsa meskipun dengan kehadiran ibunya serta mempengaruhi dan menghantar pesanan ringkas kepada mangsa yang boleh mengganggu perbicaraan," katanya.
Mahkamah menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA