Anggota tentera darat cedera terkena letupan di Sintok
Bernama
Januari 25, 2017 21:42 MYT
Januari 25, 2017 21:42 MYT
Seorang anggota tentera berpangkat koperal cedera pada tangan kanan dan kirinya setelah terkena letupan ketika bertugas di khemah penempatan anggota di Mukim Temin, Sintok hari ini.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataannya menyatakan Koperal Mohd Zulkifli Salleh, 32, dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja yang berpangkalan di Kangar, Perlis kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Kejadian itu berlaku pada 9.28 pagi ketika anggota tentera berkenaan sedang berada di dalam khemah untuk pentadbiran.
"Punca letupan masih dalam siasatan. Bagaimanapun, ia bukan bom tangan atau sebarang bahan letupan tentera," menurut kenyataan itu.
Tentera Darat sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian itu. --BERNAMA