Anggota tentera Brunei maut ketika berkonvoi ke Sandakan
Sinar Harian
Julai 21, 2024 09:40 MYT
Julai 21, 2024 09:40 MYT
KENINGAU: Hasrat seorang anggota Tentera DiRaja Brunei mahu menyertai program permotoran yang diadakan di Sandakan tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, yang menunggang motosikal secara berkonvoi bersama rakannya disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki warga emas berusia 70 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama empat lagi motosikal lain dari arah Keningau ke Sandakan.
"Sebaik tiba di lokasi, sebuah pacuan empat roda tiba-tiba keluar simpang dari arah Kampung Monsorulung Tambunan untuk memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.
"Mangsa yang berada di jalan utama cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan kanan kenderaan tersebut dan menyebabkan mangsa tercampak lalu terperosok di bawah pacuan empat roda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yampil berkata lagi, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, patah kaki dan rusuk bahagian kiri.
"Mangsa dihantar ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 2.56 petang ketika menerima rawatan di wad kecemasan," katanya.
Yampil berkata, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang keluar dari simpang tanpa memerhatikan motosikal tersebut.
"Pemandu tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya. - Sinar Harian