Anggota TDM terlanggar penunggang motosikal ketika pendaratan payung terjun

Khalis Khadir
Februari 17, 2025 22:08 MYT
Markas Tentera Darat berkata, penunggang motosikal itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota TDM terbabit hanya cedera ringan. - Tangkap layar media sosial
KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) terlibat dalam insiden pendaratan luar jangka ketika latihan penerjunan bebas Eksesais Eagle Swift di Kem Terendak, Melaka hingga mengakibatkan perlanggaran dengan sebuah motosikal ditunggang orang awam.
Dalam satu kenyataan Markas Tentera Darat pada Isnin, perubahan arah angin sebelum pendaratan atau final approach menyebabkan anggota terbabas dari zon pendaratan ditetapkan.
Kejadian melibatkan Koperal Mohd Zahier Zainol Abidin, 29 tahun dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD (Para)) itu menyebabkan anggota berkenaan mendarat di kawasan berhampiran sekitar Tanjung Bidara.
“Tim recovery zon pendaratan telah mengambil tindakan pantas dengan memeriksa kedua-dua pihak yang terlibat dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan dialami oleh penunggang motosikal berkenaan.
"Penunggang motosikal itu juga didapati meninggalkan lokasi sebelum maklumat lanjut dapat diambil," katanya.
Koperal Mohd Zahier dihantar ke 94 Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan disahkan hanya mengalami cedera ringan.
Rakaman kejadian yang dirakam oleh orang awam itu kemudian tular di media sosial.
Susulan itu, TDM menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini sehingga siasatan selesai.
#Eksesais Eagle Swift #TDM #payung terjun #penunggang motosikal
;