Anggota SB fail saman fitnah terhadap bekas pengarah kanan Bukit Aman, bekas diplomat

Agensi
Mei 31, 2022 17:32 MYT
Peguam Azwan Jamaldin, M Manoharan dilaporkan sebagai berkata, writ saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Mei lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Anggota Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azwan Jamaldin telah memfailkan saman fitnah berasingan terhadap seorang bekas pengarah kanan Bukit Aman dan seorang bekas diplomat, kerana menuduhnya membuat tuntutan palsu.
Memetik laporan Berita Harian, Azwan yang berpangkat Asisten Superintendan, menamakan bekas Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din serta bekas konsul Malaysia ke Pontianak, Mohiuddin Ghazali sebagai defendan.
Menurut writ saman tersebut, Azwan mendakwa dia dituduh membuat beberapa tuntutan palsu berjumlah RM63,704 bagi menyelenggara dan membaiki kenderaan pegawai perhubungan polis Malaysia di Pontianak, Indonesia.
Peguam Azwan, M Manoharan dilaporkan sebagai berkata, writ saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Mei lepas, dan mahkamah telah meminta Ramli memfailkan pembelaannya sebelum 15 Jun, dan Mohiuddin pada 3 Jun depan.
“Berdasarkan writ saman itu, Azwan mendakwa Mohiuddin secara palsu dan berniat jahat menulis dan menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah mengenainya menerusi e-mel antara 23 Disember 2020 dan 8 Mac 2021.
“Mohiuddin didakwa menulis e-mel kepada seorang pegawai Wisma Putra pada Ogos 2021 untuk menggesa pasukan petugas menyiasat tuntutan perbelanjaan Azwan. Pasukan petugas itu kemudian mengesahkan Azwan memalsukan tuntutan berkenaan,” menurut laporan itu lagi.
Azwan turut mendakwa Ramli menulis surat yang didakwa berunsur fitnah pada 23 Mac 2021 berdasarkan dakwaan Mohiuddin dan menghantarnya kepada beberapa pegawai tertinggi polis, memetik laporan itu.
Mereka termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Cheong Koon Kock; Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas, Senior Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid; Ketua Polis Negara ketika itu serta kerajaan.
Azwan, berdasarkan laporan itu, menuntut ganti rugi daripada defendan memandangkan reputasinya sebagai anggota polis tercemar teruk, dan beliau tidak dinaikkan pangkat disebabkan tuduhan itu.
#cawangan khas #Bukit Aman #saman fitnah #tuntutan palsu
;