Anggota RELA maut tertembak senapang sendiri

Muhafandi Muhamad
Ogos 2, 2017 11:22 MYT
Seorang anggota RELA maut apabila senapang patah jenis "remington" yang dibawanya meletup secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Kampung Kolam. - Gambar hiasan
Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) apabila senapang patah yang dibawanya meletup secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Kampung Kolam, Tok Uban di sini, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rodin Hashim, 45 tahun.
Katanya dalam kejadian sekitar jam 2.45 pagi tadi, mangsa bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memburu.
Mangsa bersama isteri menaiki motosikal dengan senapang patah jenis "remington" diletakkan dalam raga motosikal dengan muncung senapang menghala ke arah mangsa.
Dalam dua kilometer sebelum sampai di rumah, senapang tersebut meletup secara tiba-tiba dan mengenai leher mangsa.
"Siasatan awal mendapati senapang patah milik RELA yang diletakkan mangsa di dalam bakul motosikalnya meletup dengan sendiri sebelum mengenai leher mangsa yang ketika itu menunggang motosikal bersama isterinya.
"Mangsa dikatakan dalam perjalanan ke kawasan hutan tidak jauh dari rumahnya untuk berburu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan taklimat keselamatan kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Mangsa maut di tempat kejadian manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dalam proses bedah siasat di Hospital Pasir Mas dan kes di siasat sebagai mati mengejut.
#Hospital #mangsa #mati #maut #Pasir Mas #polis #senapang #tertembak
;